Pelayaran Mukmin



www.iluvislam.com
dihantar oleh: Ibtisam Syarha
Editor: RosNiza Abdullah



Kekuatan jiwa seorang mukmin itu bergantung pada pengamalannya seharian. Kesedaran yang menggunung tentang hakikat kejadian diri akan membuat diri seseorang, jelas tentang keberadaanya di dunia fana ini.

Firman ALLAH S.W.T: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKU” (Al-zariyaat ayat: 56).

Fikrah yang jelas membuat hidup lebih terarah. Seperti mana sebuah pelayaran, sudah pasti ada hala tujunya. Begitulah diibaratkan kehidupan kita sebagai hamba ALLAH di dunia yang fana ini. Pelayaran kita telah bermula sejak dilahirkan lagi. Pelayaran yang perlu dikaut sebanyaknya sebagai bekalan untuk disimpan dan digunakan pada penghujung pelayaran.

Sudah pasti dengan persinggahan yang sementara membuat hati kita terpaut pada yang di namakan keindahan. Tidaklah salah mencintai keindahan dan kecantikan kerana ALLAH itu cantik dan DIA suka akan kecantikan. Jadi perlulah berwaspada dengan keindahan yang di jumpai itu, kerana ia bukan milik kekal kita. Yang menjadi pemiliknya ialah ALLAH S.W.T.

“Kehidupan dunia itu tidak lain kecuali permainan dan hiburan sedang kampung akhirat itulah hidup yang sebenar, andai mereka mengetahui.” (Al-Ankabut:64)

Carilah sebanyak yang mungkin peluang yang ada, kautlah sebanyak mana yang boleh bekalan kita untuk menuju ke negeri abadi. Tanpa bekalan itu, ternyata sia-sialah hidup manusia itu. Kesempatan yang ada perlulah di gunakan sebaik-baiknya. Jadikan peluang keemasan itu satu "reward" buat kita semua.

Kata-kata saidana Umar r.a “Hisablah dirimu sebelum dirimu dihisab” Melalui kata-kata itu, capailah maksud bahawa hidup ini perlu di muhasabah setiap masa, usah menunggu hari esok. Bersegeralah dalam kebaikan.

Hisablah diri tentang apa yang telah dibuat sepanjang umurnya, sepanjang hari dan malamnya. Ini kerana di akhirat nanti kita semua akan di tanya tentang waktu kita yang telah di habiskan. Menjalankan sesuatu pekerjaan perlulah diingatkan dengan ketaqwaan , keikhlasan dan keimanan.

Hiasi ia dengan sifat mahmudah, tawaddu’. Renungkan dahulu sebelum melakukan sesuatu itu, bahawa adakah ALLAH redha buat perkara ini? Betulkah ianya syar’ie? Adakah ia dituntut dalam Islam?

“Tidak ada daun yang gugur yang tidak di ketahui ALLAH…”(Al-An'am:59)

Curahkan ilmu dalam segenap hal pada yang tidak mengetahui, jangan menghina pada yang tidak mengetahui, kerana hati sebegitu adalah lebih sakit daripada yang tidak mngetahui. Hiasi sikap dengan kata berhikmah. Jadilah seperti pohon rendang yang berbuah, apabila di baling batu, di berikan buah sebagai balasan.

Letakkan ALLAH sebagai tempat mengadu yang paling tinggi. DIA merupakan sebaik-baik tempat mengadu. Usah di bimbang ALLAH tidak memakbulkan doa kita, kerana sesungguhnya ALLAH Maha Memakbulkan segala doa. Cumanya sama ada cepat atau lambat.

Firman ALLAH S.W.T: “Berdoalah nescaya akan AKU kabulkan.”

Sesungguhnya orang-orang beriman itu apabila di sebut nama ALLAH, maka bergetarlah hatinya, apabila di bacakan ayat-ayat ALLAH, maka makin kuat(iman) dan kepada ALLAHlah mereka bertawakkal. Kuatkan cinta dan keyakinan padaNYA, usah gusar untuk bercinta denganNYA, percaya dan yakinlah, tidak akan siapa yang kecewa dengan cintaNYA. Dan ingatlah kesudahan bagi mukmin itu amat indah, tiada apa yang dapat di bandingkan dengan nikmat itu. Dunia sebagai penjara bagi mukmin, tapi pada orang kafir sebagai syurga.

Oleh itu rantaikan diri kita dengan keimanan, ketaatan dan ketaqwaan kepada ALLAH S.W.T. Moga-moga kesudahan yang baik adalah milik kita semua. Amin.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga(taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air(yang mengalir)." (Al-Hijr:45)

Ya ALLAH letakkan dunia ini di tangan kami, bukan di hati kami. Sama-sama doakan moga di tetapkan iman. wallahua'alam

Maaf, ana sudah bertunang..




Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! " Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

............ ......... ......... .........

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya. ..."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar. .." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

************ ********* ********* ********* *******

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Sumber : http://www.facebook.com/note.php?note_id=408995870559&id=1363481730&ref=mf

Nilai-Nilai Kehidupan




PERGWSERAN NILAI-NILAI KEHIDUPAN
Oleh: ABU HATIM

DALAM suasana kehidupan berkeluarga, gejala pergeseran nilai-nilai terlihat dengan jelas melalui tingkah laku anak-ana
k yang tidak lagi menghormati ibu bapa. Demikian sebaliknya juga terdapat ibu bapa yang tidak dapat menempatkan diri mereka sebagai orang tua yang harus membimbing keluarga dan menjadi contoh teladan kepada anak-anak.

Di sisi lain pula, timbul gejala di mana golongan tua tidak lagi menyayangi yang muda
dan sebaliknya pula yang muda tidak menghormati yang tua.

Seorang isteri pula dengan mudah menuntut pelbagai habuan daripada suami padahal suaminya tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut.

Demikian juga akibat pengaruh modenisasi serta kehidupan materialistik yang tinggi, di mana-mana sahaja terdapat golongan kaya memerah si miskin.

Malah muncul sikap hedonisme, hipokrit dan sebagainya. Seiring itu pula, muncul penyakit hati yang semakin bermaharajalela seperti dengki, gosip, fitnah yang semuanya berusaha saling menjatuhkan sesama sendiri sama ada kawan atau saudara sendiri.

Demikian juga kerana salah menerapkan makna atau erti kemerdekaan, kebebasan maka hubungan antara wanita dan lelaki semakin bebas tanpa sempadan. Malah bercumbu-cumbuan di khalayak sudah menjadi kebiasaan.


Itulah gambaran sepintas lalu dari pergeseran nilai-nilai di tengah-tengah zaman kemajuan ini.

Gambaran ini menjadi semakin babrok pada abad ke-21. Inilah yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir zaman ini.

Daripada Abi Said, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sungguh kamu akan meniru perilaku orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, hingga seandainya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.

Lalu kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu umat
Yahudi dan Nasrani.”

Rasulullah menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Islam telah menempatkan akhlak menjadi salah satu sendi utama dalam ajarannya. Nabi Muhammad diutus Allah ke dunia ini antara lain untuk memperbaiki akhlak manusia agar sesuai dengan fitrah sekali gus jati dirinya sebagai khalifah di bumi ini.

Dalam Islam akhlak itu bersumber dari Allah.

Dialah yang memberikan pedoman dan aturan-aturan melalui Rasul-Nya Muhammad. Dia pula yang menetapkan Rasul-Nya sebagai contoh teladan yang paling baik daripada akhlak semua manusia.

Akhlak

Dalam Islam, akhlak meliputi tiga perkara pokok.

Pertama: Sikap dan tatacara hubungan sesama manusia.

Kedua: Sikap dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan seluruh benda di ruang angkasa, jin dan malaikat dan sebagainya.

Ketiga: Sikap dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta dan Pelindungnya.

Apabila ketiga-tiga perkara ini dilakukan dengan baik, Islam sesungguhnya menjanjikan kepada pelakunya kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Bila akhlak yang bersumber daripada Allah itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kecelakaan demi kecelakaan ke atas pelakunya.

Jika kaum mukminin sungguh-sungguh mengamalkan kitab suci dan sunah Rasul, Allah akan menjadikan cahaya mereka bersinar sebagai balasan yang setimpal. Sementara musuh-musuh Allah yang mengingkari akan diharamkan dari cahaya itu sehingga akan terus berada dalam kegelapan. Mereka tidak akan mendapatkan cahaya. Cahaya fitrah berdampingan dengan cahaya hidayah. Cahaya al-kitab berdampingan dengan cahaya Rasul. Cahaya mata hati berdampingan dengan cahaya dalil. Cahaya di atas cahaya, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa saja yang Dia kehendaki. (an-Nur,:35).

Barang siapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun. (an-Nur,:40).

Nabi Muhammad s.a.w juga adalah cahaya kerana Allah mengutusnya dengan membekalinya cahaya dan petunjuk.

Allah berfirman yang bermaksud: Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk jadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. (al-Ahzab: 45-46).

Tidak ada jalan lain untuk mengatasi persoalan pergeseran nilai-nilai ini melainkan kembali kepada Allah s.w.t. dengan menerapkan kembali peraturan-Nya dalam kehidupan perseorangan, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Untuk itu juga harus dibangunkan kesedaran bersama melalui pendidikan yang sistematik dan padu yang melibatkan banyak aspek berhubung kemasyarakatan dan pemerintahan. Saling mengingati sesama umat dalam menuju kebaikan dan kebenaran. Dengan itu pergeseran nilai-nilai yang sedang berlaku akan menuju ke arah kebaikan bukannya kerosakan.